Tanah Sebagai Modal Politik dan Kuasa

26 01 2009

Tanah Sebagai Modal Politik dan Kuasa
GERMARAK UK-Eire, 26 Januari 2009

gemarak-banner1

Asas tulisan ini adalah ekoran daripada tindakan kerajaan PR Perak yang mengurniakan 400 hektar tanah kepada sembilan SRJK Cina. Ini adalah contoh terbaik bagaimana orang Melayu berpolitik. Pemberian itu seolah-olah tanah di negeri Perak telah kehabisan. Sepertilah orang Melayu tak punya tanah selepas ini. Tanah Rizab Melayu di Perak yang berjumlah lebih kurang 5 juta hektar pada tahun 1957, kini khabarnya hanya tinggal 2.45 juta hektar sahaja. Walaupun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan dengan saiz dan tabii yang sama namun kerajaan Perak yang lalu tidak berbuat demikian.

Sedangkan dalam tempoh kerajan Perak yang lalu memerintah (sejak merdeka), beratus ribu hektar tanah diberikan kepada individu bukan Melayu atas nama pembangunan tidak pernah dipersoalkan. Kadangkala, tanah anugerah Kerajaan kepada individu Melayu hanya menjadi broker atau transit untuk proses pindah milik kepada kaum lain. Bila bercakap begini – agak perkauman nadanya. Standard politik Melayu adalah sekadar batu loncatan kepada kepentingan orang lain. Orang Melayu seperti sang buaya yang kena tipu oleh sang kancil sewaktu mahu menyeberang sungai. Sudahlah kepala sang buaya (yang kononnya garang lagi ganas) diketuk, ditipu hidup-hidup pula.

Dalam masa yang sama tindakan kerajaan negeri Perak itu juga masih boleh dipertikaikan kaedahnya. Apakah ini suatu modal untuk meraih sokongan politik atau membantu sekolah tersebut? Nasib SRJK Cina sentiasa mendapat pembelaan samada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Apabila lantai sekolah sebuah SRJK Cina reput, berjuta-juta bantuan RM segera diberikan oleh pihak kerajaan. Apabila masyarakat Cina mengkritik pelaksanaan Pengajaran Metematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, akhirnya SRJK Cina mendapat keistemewaan tambahan. Melalui sekolah yang dibangunkan tanah seluas itulah, mereka membina kuasa politik yang mempertahankan pendirian dan tradisi mereka.

Sementara itu, peralihan kerajaan baru ini membuka peluang kepada pihak lain untuk membuat permohonan tanah yang mungkin selama ini dinafikan hak mereka oleh kerajaan terdahulu. Masing-masing akan mendakwa peralihan kerajaan baru adalah hasil sumbangan komitmen mereka terhadap perjuangan. Di kalangan mereka adalah terdiri ahli parti komponen PR sendiri ataupun peniaga, pertubuhan ataupun kelompok tertentu. Memang agak sukar untuk pemimpin kerajaan negeri hari ini membuat keputusan samada berasaskan kepentingan politik ataupun keperluan tanah itu sendiri. Kedua-dua kepentingan itu seperti daun bawang yang nipis dan saling bertimbang balik antara satu sama lain.

Tanah adalah modal utama dalam sistem ekonomi samada kapitalis, komunis dan juga Islam. Sepanjang sejarah jatuh bangunnya tamadun dan empayar dunia, semuanya berkisar soal tanah yang berkait rapat dengan politik dan kuasa. Sewaktu melancarkan Revolusi Bolsevik, Lenin melaungkan isu tanah sebagai slogan politik mereka. Parameswara yang lari dari Sumatera kemudian ke Temasik dan akhirnya membina Melaka juga didorong oleh faktor perlunya sebuah tanah untuk dijadikan medan politik baginda. Perjuangan Hamid Tuah suatu ketika dulu juga menyentuh soal kelaparan tanah orang Melayu. Beliau mempelopori projek penerokaan tanah kerajaan secara `haram’ untuk survival orang Melayu yang tidak bertanah. Dan terlalu banyak contoh kaitan tanah dengan perjuangan politik yang boleh diberikan.

Sewajarnya kita mempelajari bagaimana politik yang berkuasa untuk memperolehi modal tanah yang lebih luas dan bermakna. Memang tanah dijadikan modal untuk memperolehi kuasa politik tetapi perlu difikirkan kaedah yang lebih memanfaatkan ramai pihak. Kuasa barat pada abad ke 16 yang menghadapi kekurangan tanah dan modal di bumi sendiri telah melancarkan pembesaran wilayah pengaruh mereka dengan menjajah bumi Timur. Ini adalah perkiraan politik pada waktu itu.

Namun sekarang, pendekatan tersebut sudah berubah. Penjajahan tidak lagi penaklukan langsung (walaupun masih ada seperti pendudukan Amerika dan sekutunya di Iraq, Afganisthan dan beberapa negara lain) tetapi lebih kepada pengekalan kepentingan bersama. Pengekalan ini dapat dilakukan melalui pembiayaan pelaburan, bantuan pendidikan dan prasarana awam, kawalan kewangan dan cukai eksport import, polisi buruh dan sebagainya oleh pihak kerajaan.

Kebergantungan sesetengah kerajaan kepada bantuan luar samada daripada agensi antarabangsa seperti IMF, World Bank, UNESCO dan sebagainya boleh menjadi jaringan yang memerangkap ekonomi negara-negara sedang membangun dan mundur. Begitu juga dasar PBB, G7 dan kuasa unipolar dunia menjadikan sesetengah negara terpaksa akur dengan sebarang pelaksanaan dasar yang tidak adil. Pengukuhan kerjasama serantau atau kumpulan tertentu seperti ASEAN, NAM, OIC dan sebagainya masih belum mampu berhadapan kerakusan kuasa dunia.

Teringat pula cerita Sultan Kedah dengan Francis Light tentang hikayat hilangnya Pulau Mutiara pada 1786. Penyerahan Pulau Mutiara ini adalah balasan kepada kesanggupan Syarikat India Timur Inggeris bagi menjamin keselamatan Kedah daripada sebarang serangan Siam dan Burma. Akan tetapi Inggeris tidak memberi jaminan itu. Sokongan politik Inggeris bukan berdasarkan keperluan politik tetapi lebih kepada asas ekonomi. Sultan Kedah cuba mengambil balik tetapi gagal. Inggeris kemudian memberikan imbuhan tahunan kepada Sultan Kedah sebanyak 6000 dollar Sepanyol. Sebanyak 1800 dollar Sepanyol ditambah untuk daerah Seberang Prai yang terpaksa Kedah serahkan kepada British. Francis Light terus membangunkan pulau itu sebagai destinasi perniagaan dan jauh berdaya maju berbanding dengan Kedah dan negeri-negeri lain yang berjiran.

Begitu juga cerita Temenggong Johor dan Tengku Hussein dengan Stamford Raffles tentang hikayat Singapura terlepas dari kerajaan Johor-Riau. Raffles mengintai Singapura yang masih dibawah penguasaan Sultan Tengku Abdul Rahman untuk dijadikan tapak perdagangan baru British. Baginda tidak membenarkan penempatan British di situ. Ketika itu, Belanda dan Bugis berada di belakang Sultan Johor. Apabila politik Johor tidak stabil kerana perebutan kuasa antara Sultan Tengku Abdul Rahman dengan Tengku Hussein (yang bersaudara), Raffles mengambil kesempatan untuk mendapatkan peluang memiliki tanah Singapura dengan menaikkan Tengku Hussein sebagai Sultan yang boleh bekerjasama dengannya. Satu perjanjian pada 1819 ditandatangani antara kedua-dua belah pihak. British bersetuju memberikan pendapatan kepada kedua-dua pemimpin politik Melayu bagi balasan membenarkan penempatan Inggeris di Temasik. Akhirnya, Raffles berjaya memahkotakan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor bagi menggantikan adiknya, Tengku Abdul Rahman pada 1819. Tindakan ini menyebabkan berlaku ketegangan antara kuasa Inggeris dengan Belanda sehinggalah termetrinya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang mengesahkan Temasik di bawah penguasaan Inggeris dan Johor terpecah dua menjadi Johor dan Riau-Lingga. Modal Tengku Hussein dan Temenggong Johor ketika itu adalah TANAH yang diberi nama Temasik. Melalui tanah itulah, Inggeris membina kekuatan sehingga mampu menguasai negeri-negeri lain.

Sejarah itu mungkin tidak relevan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Perak atau di negeri-negeri lain namun ia boleh dijadikan panduan untuk para pemimpin dan rakyat lebih berhati-hati. Lontaran sedikit sejarah itu sekadar mengingatkan dan bukannya menghalang langkah kerajaan untuk memberikan tanah kepada mereka yang memang memerlukan. Apa yang lebih utama adalah bagaimana tanah itu dibangunkan. Bukankah ada peruntukan dalam syariat untuk merampas tanah yang tidak diusahakan (dalam tempoh tertentu), larangan dan kawalan pemilikan tanah dan mewujudkan tanah simpanan kekal bukan sekadar sebagai khazanah masa hadapan tetapi juga untuk keseimbangan ekologi.

Langkah Tun Razak membuka tanah-tanah di hutan banat seperti di Pahang melalui agensi FELDA dan rancangan pemulihan tanah di bawah FELCRA seawal pelaksanaan DEB, adalah langkah memacu ekonomi orang Melayu. Namun, falsafah penubuhan agensi tersebut lama-kelamaan seperti dilupakan dan ditinggalkan, akhirnya agensi-agensi tersebut menjadi majikan pula kepada peneroka! Ada sesetengah peneroka masih dibelenggu hutang dengan majikan mereka dan terpaksa mereka bekerja di ladang sendiri tetapi hasilnya untuk majikan mereka. Di sebalik itu, di tanah rancangan FELDA terutamanya telah dijadikan modal politik bagi PAS untuk melebarkan sayap politiknya di negeri-negeri penguasaan UMNO. Ini kerana Menteri yang dipertanggungjawabkan mengurus soal tanah adalah Dato’ Asri Hj. Muda, Yang DiPertua PAS ketika itu.

Apabila kerajaan cuba membangunkan beberapa tanah rancangan kepada tanah industri, sebahagian peneroka pula lebih ghairah menjualnya daripada memikirkan untuk membangunkan tanah itu secara lebih aktif. Terciptalah jutawan segera ataupun jutawan yang hilang akal!

Hj Muhaimeen Sulam
Pengerusi GEMARAK


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: