Pindah

27 07 2009

Sukacitanya, pihak Sekreteriat GEMARAK 2009 ingin mengumumkan perpindahan Laman Web Rasmi kami ke:

http://www.gemarak.com/

Anda semua dijemput untuk melayari Laman Web Rasmi ini bagi mengetahui perkembangan-perkembangan terkini berkaitan GEMARAK.





Terkini: Wujudkan Kerajaan Campuran di Perak

4 02 2009

 

 

Jalan Reformasi Politik di Perak

 

 

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak saat ini diambang yang sangat kritikal. Manakala Barisan Nasional berkemungkinan akan menubuhkan kerajaan baru sekiranya Tuanku Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak oleh Menteri Besar (MB) Perak, Dato’ Seri Ir. Hj. Nizar Muhamad.

 

Kedudukan kerusi yang dimiliki oleh BN seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai sebuah kerajaan yang sangat kritikal berbanding dengan pembentukan kerajaan PR sebelum ini.  Cadangan PR untuk mengadakan pilihanraya semula di seluruh negeri Perak boleh dielakkan jika pimpinan PR bersedia mengadakan reformasi politik di Perak.

 

GEMARAK melihat perkembangan politik di Perak dengan penuh serius dan rasa bertanggungjawab untuk membawa perubahan politik pada skala yang lebih luas dan menguntungkan semua pihak. GEMARAK percaya, sumber kuasa politik tidak seharusnya ditumpukan kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja bahkan aspek kebijaksanaan mengurus politik kerajaan adalah perlu diambil kira.

 

GEMARAK mencadangkan agar pemimpin semua parti mengambil sikap berlapang dada dan berjiwa besar dengan melakukan satu reformasi politik dengan mewujudkan Kerajaan Campuran antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.  Idea pembentukan kerajaan campuran ini mungkin suatu yang asing dalam negara kita.  Namun, kerajaan campuran akan mewujudkan satu makenisme kerajaan yang adil dan progresif. 

 

Memang wujud saranan untuk membentuk kerajaan campuran antara BN dengan PAS semasa selepas PRU Ke 12. Walau bagaimanapun, pembentukan itu berasaskan kekuatiran daripada sentimen perkauman. Cadangan ini tidak berasaskan kaum atau agama tetapi berasaskan kebijaksanaan parti politik menghimpunkan kepelbagaian matlamat dan pendekatan politik mereka kepada satu institusi rasmi; kerajaan campuran.

 

Kerajaan campuran ini tidak akan mengurangkan  kredibiliti perjuangan semua parti bahkan ini menunjukkan kebijaksanaan pemimpin mengurus ketidaktentuan politik negeri Perak ke arah yang lebih mantap. Di dalam kerajaan campuran ini, Menteri Besar dipilih oleh ahli Dewan Undangan Negeri secara majoriti. Manakala Menteri Besar yang berjaya dipilih dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Perak akan memilih EXCO dari kalangan pelbagai parti mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti. 

 

Di dalam keadaan inilah, fungsi istana dan Raja sangat memainkan peranan penting sebagai Raja yang menguasai negeri. Penggunaan dan pengembalian kuasa Raja-raja Melayu tidak seharusnya dirujuk kepada pindaan perlembagaan semata-mata tetapi seharusnya ditekankan kepada penafsiran bidang kuasa baginda di dalam perundangan dan perlembagaan negeri. Tafsiran perundangan tidak sekadar terikat pada kes sejarah tetapi bagaimana perundangan boleh mencapai matlamat falsafah perundangan digubal dan berfungsi. 

 

Barisan kepimpinan EXCO yang dipimpin oleh MB akan mentadbir kerajaan negeri Perak, manakala ADUN yang lain akan bertindak sebagai sebuah institusi hisbah yang menentukan pimpinan kerajaan negeri mentadbir mengikut peraturan dan matlamat yang dipersetujui sama. Mereka akan mengkritik sekiranya wujud beberapa kelemahan dan penyelewengan dan memberikan sokongan sekiranya wujud keperluan terhadap langkah tersebut.

 

Kaedah ini diamalkan di Indonesia dan juga beberapa buan negara lain di Eropah.  Apabila politik sudah berada tahap kematangan, pemimpin politik seharusnya menumpukan untuk membangunkan kerajaan dan memajukan negeri serta berkhidmat kepada rakyat seluruhnya. Hasrat BN untuk membentuk kerajaan baru melalui penyertaan bekas ADUN PKR dan DAP sangat menjejaskan krebibiliti kepimpinan kerajaan yang akan dibentuk.

 

Langkah membentuk kerajaan campuran BN-PR memerlukan satu keberanian daripada semua pihak pemimpin. Pemimpin politik dan parti politik negara seharusnya meneroka pembaharuan politik yang lebih berwibawa.   GEMARAK seterusnya mengharapkan agar semua rakyat Perak khususnya bersabar dan memberikan komitmen bagi membentuk masyarakat yang matang berpolitik dan bijak membuat keputusan.

 

 

Sekian, terima kasih.

 

Haji Muhaimin Sulam

Presiden GEMARAK





Tanah Sebagai Modal Politik dan Kuasa

26 01 2009

Tanah Sebagai Modal Politik dan Kuasa
GERMARAK UK-Eire, 26 Januari 2009

gemarak-banner1

Asas tulisan ini adalah ekoran daripada tindakan kerajaan PR Perak yang mengurniakan 400 hektar tanah kepada sembilan SRJK Cina. Ini adalah contoh terbaik bagaimana orang Melayu berpolitik. Pemberian itu seolah-olah tanah di negeri Perak telah kehabisan. Sepertilah orang Melayu tak punya tanah selepas ini. Tanah Rizab Melayu di Perak yang berjumlah lebih kurang 5 juta hektar pada tahun 1957, kini khabarnya hanya tinggal 2.45 juta hektar sahaja. Walaupun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu yang diambil oleh pihak kerajaan dengan saiz dan tabii yang sama namun kerajaan Perak yang lalu tidak berbuat demikian.

Sedangkan dalam tempoh kerajan Perak yang lalu memerintah (sejak merdeka), beratus ribu hektar tanah diberikan kepada individu bukan Melayu atas nama pembangunan tidak pernah dipersoalkan. Kadangkala, tanah anugerah Kerajaan kepada individu Melayu hanya menjadi broker atau transit untuk proses pindah milik kepada kaum lain. Bila bercakap begini – agak perkauman nadanya. Standard politik Melayu adalah sekadar batu loncatan kepada kepentingan orang lain. Orang Melayu seperti sang buaya yang kena tipu oleh sang kancil sewaktu mahu menyeberang sungai. Sudahlah kepala sang buaya (yang kononnya garang lagi ganas) diketuk, ditipu hidup-hidup pula.

Dalam masa yang sama tindakan kerajaan negeri Perak itu juga masih boleh dipertikaikan kaedahnya. Apakah ini suatu modal untuk meraih sokongan politik atau membantu sekolah tersebut? Nasib SRJK Cina sentiasa mendapat pembelaan samada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Apabila lantai sekolah sebuah SRJK Cina reput, berjuta-juta bantuan RM segera diberikan oleh pihak kerajaan. Apabila masyarakat Cina mengkritik pelaksanaan Pengajaran Metematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, akhirnya SRJK Cina mendapat keistemewaan tambahan. Melalui sekolah yang dibangunkan tanah seluas itulah, mereka membina kuasa politik yang mempertahankan pendirian dan tradisi mereka.

Sementara itu, peralihan kerajaan baru ini membuka peluang kepada pihak lain untuk membuat permohonan tanah yang mungkin selama ini dinafikan hak mereka oleh kerajaan terdahulu. Masing-masing akan mendakwa peralihan kerajaan baru adalah hasil sumbangan komitmen mereka terhadap perjuangan. Di kalangan mereka adalah terdiri ahli parti komponen PR sendiri ataupun peniaga, pertubuhan ataupun kelompok tertentu. Memang agak sukar untuk pemimpin kerajaan negeri hari ini membuat keputusan samada berasaskan kepentingan politik ataupun keperluan tanah itu sendiri. Kedua-dua kepentingan itu seperti daun bawang yang nipis dan saling bertimbang balik antara satu sama lain.

Tanah adalah modal utama dalam sistem ekonomi samada kapitalis, komunis dan juga Islam. Sepanjang sejarah jatuh bangunnya tamadun dan empayar dunia, semuanya berkisar soal tanah yang berkait rapat dengan politik dan kuasa. Sewaktu melancarkan Revolusi Bolsevik, Lenin melaungkan isu tanah sebagai slogan politik mereka. Parameswara yang lari dari Sumatera kemudian ke Temasik dan akhirnya membina Melaka juga didorong oleh faktor perlunya sebuah tanah untuk dijadikan medan politik baginda. Perjuangan Hamid Tuah suatu ketika dulu juga menyentuh soal kelaparan tanah orang Melayu. Beliau mempelopori projek penerokaan tanah kerajaan secara `haram’ untuk survival orang Melayu yang tidak bertanah. Dan terlalu banyak contoh kaitan tanah dengan perjuangan politik yang boleh diberikan.

Sewajarnya kita mempelajari bagaimana politik yang berkuasa untuk memperolehi modal tanah yang lebih luas dan bermakna. Memang tanah dijadikan modal untuk memperolehi kuasa politik tetapi perlu difikirkan kaedah yang lebih memanfaatkan ramai pihak. Kuasa barat pada abad ke 16 yang menghadapi kekurangan tanah dan modal di bumi sendiri telah melancarkan pembesaran wilayah pengaruh mereka dengan menjajah bumi Timur. Ini adalah perkiraan politik pada waktu itu.

Namun sekarang, pendekatan tersebut sudah berubah. Penjajahan tidak lagi penaklukan langsung (walaupun masih ada seperti pendudukan Amerika dan sekutunya di Iraq, Afganisthan dan beberapa negara lain) tetapi lebih kepada pengekalan kepentingan bersama. Pengekalan ini dapat dilakukan melalui pembiayaan pelaburan, bantuan pendidikan dan prasarana awam, kawalan kewangan dan cukai eksport import, polisi buruh dan sebagainya oleh pihak kerajaan.

Kebergantungan sesetengah kerajaan kepada bantuan luar samada daripada agensi antarabangsa seperti IMF, World Bank, UNESCO dan sebagainya boleh menjadi jaringan yang memerangkap ekonomi negara-negara sedang membangun dan mundur. Begitu juga dasar PBB, G7 dan kuasa unipolar dunia menjadikan sesetengah negara terpaksa akur dengan sebarang pelaksanaan dasar yang tidak adil. Pengukuhan kerjasama serantau atau kumpulan tertentu seperti ASEAN, NAM, OIC dan sebagainya masih belum mampu berhadapan kerakusan kuasa dunia.

Teringat pula cerita Sultan Kedah dengan Francis Light tentang hikayat hilangnya Pulau Mutiara pada 1786. Penyerahan Pulau Mutiara ini adalah balasan kepada kesanggupan Syarikat India Timur Inggeris bagi menjamin keselamatan Kedah daripada sebarang serangan Siam dan Burma. Akan tetapi Inggeris tidak memberi jaminan itu. Sokongan politik Inggeris bukan berdasarkan keperluan politik tetapi lebih kepada asas ekonomi. Sultan Kedah cuba mengambil balik tetapi gagal. Inggeris kemudian memberikan imbuhan tahunan kepada Sultan Kedah sebanyak 6000 dollar Sepanyol. Sebanyak 1800 dollar Sepanyol ditambah untuk daerah Seberang Prai yang terpaksa Kedah serahkan kepada British. Francis Light terus membangunkan pulau itu sebagai destinasi perniagaan dan jauh berdaya maju berbanding dengan Kedah dan negeri-negeri lain yang berjiran.

Begitu juga cerita Temenggong Johor dan Tengku Hussein dengan Stamford Raffles tentang hikayat Singapura terlepas dari kerajaan Johor-Riau. Raffles mengintai Singapura yang masih dibawah penguasaan Sultan Tengku Abdul Rahman untuk dijadikan tapak perdagangan baru British. Baginda tidak membenarkan penempatan British di situ. Ketika itu, Belanda dan Bugis berada di belakang Sultan Johor. Apabila politik Johor tidak stabil kerana perebutan kuasa antara Sultan Tengku Abdul Rahman dengan Tengku Hussein (yang bersaudara), Raffles mengambil kesempatan untuk mendapatkan peluang memiliki tanah Singapura dengan menaikkan Tengku Hussein sebagai Sultan yang boleh bekerjasama dengannya. Satu perjanjian pada 1819 ditandatangani antara kedua-dua belah pihak. British bersetuju memberikan pendapatan kepada kedua-dua pemimpin politik Melayu bagi balasan membenarkan penempatan Inggeris di Temasik. Akhirnya, Raffles berjaya memahkotakan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor bagi menggantikan adiknya, Tengku Abdul Rahman pada 1819. Tindakan ini menyebabkan berlaku ketegangan antara kuasa Inggeris dengan Belanda sehinggalah termetrinya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang mengesahkan Temasik di bawah penguasaan Inggeris dan Johor terpecah dua menjadi Johor dan Riau-Lingga. Modal Tengku Hussein dan Temenggong Johor ketika itu adalah TANAH yang diberi nama Temasik. Melalui tanah itulah, Inggeris membina kekuatan sehingga mampu menguasai negeri-negeri lain.

Sejarah itu mungkin tidak relevan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Perak atau di negeri-negeri lain namun ia boleh dijadikan panduan untuk para pemimpin dan rakyat lebih berhati-hati. Lontaran sedikit sejarah itu sekadar mengingatkan dan bukannya menghalang langkah kerajaan untuk memberikan tanah kepada mereka yang memang memerlukan. Apa yang lebih utama adalah bagaimana tanah itu dibangunkan. Bukankah ada peruntukan dalam syariat untuk merampas tanah yang tidak diusahakan (dalam tempoh tertentu), larangan dan kawalan pemilikan tanah dan mewujudkan tanah simpanan kekal bukan sekadar sebagai khazanah masa hadapan tetapi juga untuk keseimbangan ekologi.

Langkah Tun Razak membuka tanah-tanah di hutan banat seperti di Pahang melalui agensi FELDA dan rancangan pemulihan tanah di bawah FELCRA seawal pelaksanaan DEB, adalah langkah memacu ekonomi orang Melayu. Namun, falsafah penubuhan agensi tersebut lama-kelamaan seperti dilupakan dan ditinggalkan, akhirnya agensi-agensi tersebut menjadi majikan pula kepada peneroka! Ada sesetengah peneroka masih dibelenggu hutang dengan majikan mereka dan terpaksa mereka bekerja di ladang sendiri tetapi hasilnya untuk majikan mereka. Di sebalik itu, di tanah rancangan FELDA terutamanya telah dijadikan modal politik bagi PAS untuk melebarkan sayap politiknya di negeri-negeri penguasaan UMNO. Ini kerana Menteri yang dipertanggungjawabkan mengurus soal tanah adalah Dato’ Asri Hj. Muda, Yang DiPertua PAS ketika itu.

Apabila kerajaan cuba membangunkan beberapa tanah rancangan kepada tanah industri, sebahagian peneroka pula lebih ghairah menjualnya daripada memikirkan untuk membangunkan tanah itu secara lebih aktif. Terciptalah jutawan segera ataupun jutawan yang hilang akal!

Hj Muhaimeen Sulam
Pengerusi GEMARAK





Sekalung Tahniah Buat YAB Ir Nizar

4 01 2009

Dipetik dari Blog Datin Seri Fatimah Taat

GEMARAK mengucapkan sekalung tahniah buat YAB Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Suami Terima Anugerah Kehormat IEM


Pada 27 Disember yang lalu bertempat di Hotel Heritage satu majlis Makan Tengahari telah dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (The Institution Of Engineers Malaysia) IEM. Pada yang sama bermula dari awal pagi mereka telah mengadakan Mesyuarat Tahunan untuk sesi 2008.

Sebelum majlis makan bermula, satu majlis telah diadakan untuk mengumumkan pemberian IEM Honorary Fellow kepada suami. Pemberian anugerah tersebut dari IEM amat bermakna dan suami amat terharu serta berterima kasih.

Sejak tahun 1981, 24 orang telah menerima anugerah tersebut dan suami adalah penerima yang ke-25 bagi tahun 2008. Antara yang pernah menerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Haji Yusoff Ibrahim (Pertama-1981), Late Dr. J.G Daniel, Tun Mahathir (1984), Sultan Azlan (1989), Tun Daim (1998), Pak Lah (2001) dan lain-lain.





Salam Aidiladha

7 12 2008

GEMARAK UK & Ireland mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua anak Perak yang menyambutnya di serata dunia. Semoga Aidiladha kali ini memuncakkan manifestasi syukur dan takwa kita kepada Yang Maha Esa insyaAllah.

Sedikit sisipan…

Selain pengorbanan binatang ternak yang dilakukuan sebagai ritual keagamaan pada hari-hari tertentu dalam bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai Allah.

http://www.ns.net.my/cards/adha2.jpg

Allahuakbar! Walillahil hamd!





Sorotan Majlis Penghargaan Anak Perak Bersama Menteri Besar

19 11 2008

Tanggal 28 Ogos 2008 yang lalu telah berlangsung aktiviti pertama GEMARAK iaitu Majlis Penghargaan Buat Anak-Anak Perak Yang Bakal Melanjutkan Pelajaran Ke United Kingdom dan Ireland bersama Menteri Besar Perak, Y.A.B Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Y.B. Encik Su Keong Siong sebagai Pengerusi, Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi Negeri Perak dan 22 orang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk Ijazah Tahun Pertama dari pelbagai jurusan kritikal.

Majlis yang berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak selama 2 jam itu juga dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga pelajar yang turut sama mendengar amanat  yang disampaikan Y.A.B Menteri Besar sendiri. Walaupun ucapan beliau ringkas tetapi ianya sarat dengan perkongsian pengalaman beliau ketika menuntut di Aston University dahulu, dan harapan rakyat negeri Perak untuk pelajar-pelajar yang berpotensi besar ini sepanjang tempoh pengajian dan sekembalinya pulang ke tanahair kelak.

Pada kesempatan itu Y.A.B Menteri Besar turut membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah Al Baqarah,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Pada majlis yang sama juga, Y.A.B Menteri Besar telah berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan buat setiap pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing dan ucapan sekalung tahniah. Alangkah gembiranya para pelajar ini dapat mendengar amanat dan bertemu sendiri dengan wakil kerajaan negeri Perak sebelum mereka berangkat pergi ke luar negara.

Wakil Presiden GEMARAK, Anasz Muhammad Sufyan telah menyampaikan kertas kerja permohonan peruntukan bagi pertubuhan GEMARAK yang ketika itu baru berusia sebulan. Setelah diteliti objektif, sasaran aktiviti-aktiviti dan kesungguhan GEMARAK, Y.A.B Menteri Besar telah meluluskan peruntukan untuk pembiayaan aktiviti-aktiviti di masa akan datang.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Y.A.B Menteri Besar, wakil kerajaan negeri Perak, ibu bapa, para pelajar dan anak-anak Perak yang pulang bercuti semasa musim panas. Hadirin berkesempatan menjamu hidangan tengah hari dan beramah mesra untuk bersuai kenal dengan anak-anak Perak yang lain bagi memperkasa rangkaian kerjasama di masa akan datang.

Picture15.png Frame 2 picture by nasi2

Pelajar-pelajar yang diraikan – Anak-anak Perak yang akan melanjutkan Pengajian ke UK & Ireland

Slide3.jpg Frame 5 picture by nasi2

Bersama ibu bapa pelajar

Picture14.png Frame 1 picture by nasi2

Penyerahan kertas kerja permohonan bantuan dana GEMARAK oleh Co-ordinator GEMARAK di Malaysia

pantun1.jpg Frame 7 picture by nasi2

Untuk Slide Show Sila Klik

Untuk Photostream Gambar Sila Klik

http://psuk-msn.perak.gov.my/muaturun/Jata%20Perak.jpg

Kunjungi Portal Negeri Perak Berwajah Baru! Klik





Laman Rasmi GEMARAK Kembali Aktif

2 11 2008

Pihak sekretariat GEMARAK UK & Ireland memohon kemaafan kerana terpaksa membekukan dua bulan laman rasmi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Memahami kesulitan yang dihadapi oleh kalangan ahli-ahli serta anak-anak Perak, pihak sekretariat memohon kemaafan. InsyaAllah, pihak sekretariat akan sedaya upaya menjadikan laman rasmi ini sebagai satu medium penyampai maklumat, berita dan pandangan rasmi GEMARAK UK & Ireland kepada umum.

Pihak kami juga akan menyiarkan berita aktiviti GEMARAK UK & Ireland yang tidak sempat disiarkan dalam laman rasmi ini. Pihak kami juga amat berbesar hati untuk menerima sebarang cadangan, kritikan dan idea  yang boleh meningkatkan prestasi medium ini.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.